Saturday, December 12, 2009

NOSTALGIA NAMA

            Aku dilahirkan oleh ibuku Kasmah bt Harun pada  hari Jumaat 15 Jun 1951 bersamaan 10 Ramadhan 1370 Hijrah di sebuah perkampungan bernama Sekara.Ayahku Ahmad b.Mohd Saman ingin menamakan aku Jamaluddin nama yang dicadangkan oleh Hj Wan Hassan Hj Wan Abdullah yang menjadi guru dan berjiran dengan keluarga sebelah ayah di Kg.Tg Memalau,Chenor.Nindaku,Harun b Hj.Abdullah sangat gembira dengan kelahiranku itu terus mendaftar namaku di balai Polis Sekara .Pegawai  yang bertugas meminta nama daripada nindaku tetapi  terlupa nama yang dicadangkan.Disebabkan pegawai tersebut kesuntukan masa ia bertanya bayi itu lelaki atau perempuan.Bila dikatakan lelaki ia terus menulis AWANG.Ia terus bertanya lagi kedudukan bayi tersebut yang sulung,tengah atau bongsu.Ninda menyatakan yang sulong.Pegawai tersebut terus menulis SULONG.Begitula alkisahnya....namaku kini AWANG SULONG BIN AHMAD.Rindukan nama JAMALUDDIN aku menggunakan nama tersebut untuk blog ini.Kini nama itu menjadi trade mark kepadaku kerana hanya keluarga Hj Wan Hassan sahaja yang masih memanggil nama tersebut.Kebetulan pula nama ini sama dengan sebuah cerita Melayu klasik HIKAYAT AWANG SULONG MERAH MUDA.Bapa saudaraku cikgu Mohd Kassim membelikan buku tersebut dan aku sungguh gembira dan membacanya kuat-kuat dan aku selalu mengimpikan watak tersebut.ninda sebelah ayah pula,Mohd Saman b Kaat pula selalu bercerita tentang cerita-cerita dongeng setiap kali sebalum tidur semasa aku berumur 3 tahun menyebabkan aku menjadi pawang ana di sekolahku.Aku masih ingat semasa berulang ke sekolah menaiki bas aku tidak perlu berebut tempat kerana sesiapa yang ingin mendengar cerita ia perlu menyediakan tempat duduk untukku.

1 comment:

  1. Saya terjumpa nama Jamaludin komen tentang saya dalam satu blog yang mengesahkan kg Pejing. Puas juga menjejaknya, menapak, akhirnya berjumpa. Dulu menapak dalam hutan, kini menapak dalam hutan maya. Tahun 1970 dan 2010 sangat berbeza. Inilah akibat terlupa sewaktu nak daftar nama cucu di Balai Polis Chenor tahun 1951 dulu, suratan takdir. Pasti ada hikmahnya.

    ReplyDelete